Monday, 12 July 2021

Pengurusan Fasiliti & Era Digital


Isu kelestarian sudah menjadi agenda utama setiap sektor ekonomi menuju era pasca pandemik COVID-19. Oleh itu, keperluan membangunkan persekitaran mampan semakin mendesak dalam kebanyakan industri.

Sudah tentu, langkah pendigitalan ekonomi turut memberikan manfaat besar kepada pemain industri pengurusan fasiliti.

Pengurusan fasiliti bangunan bidang merangkumi pelbagai disiplin. Ia bertujuan memastikan fungsi, keselesaan, keselamatan dan kecekapan persekitaran dibina dengan mengintegrasikan manusia, tempat, proses dan teknologi.

Pengurus fasiliti harus memanfaatkan ekonomi digital dalam mewujudkan kelestarian.

Peranan mereka tidak hanya terhad mengurus fasiliti bangunan, tetapi membantu negara mencapai kemampanan menyeluruh.

Pelaksanaan pengurusan fasiliti cekap dan lestari sangat penting bagi kebanyakan organisasi dalam mengoptimumkan kos perbelanjaan, kecekapan tenaga, mengurangkan pembaziran tenaga dan air, meningkatkan produktiviti kakitangan, serta meningkatkan nilai pulangan pelaburan.

Desakan ini menjadi rumit dengan kebanyakan fasiliti bangunan sedia ada semakin usang dan memerlukan pemerhatian serta penjagaan lebih kompleks.

Tambahan pula, penghuni dan penyewa bangunan sentiasa mengharapkan perkhidmatan lebih baik, pantas dan berkualiti.

Oleh itu, penggunaan peranti dan penyelesaian inovatif yang memanfaatkan data analitik masa nyata, sangat membantu dalam membuat keputusan operasi. Ini akan meningkatkan kecekapan operasi pengurusan fasiliti dan menambah nilai perkhidmatan.

Dengan kata lain, pengurusan fasiliti memerlukan transformasi ke arah pendigitalan untuk berkembang maju pada zaman ini.

Oleh itu, pemain industri dalam pengurusan fasiliti bangunan perlu membina dan mengembangkan keupayaan dalam membuat keputusan operasi mereka berdasarkan data analitik masa nyata, dalam penyampaian perkhidmatan mereka.

Antara cabaran dan kesan pendigitalan pengurusan fasiliti bangunan yang perlu dipertimbangkan adalah:

·    Data analitik sebagai aset - fasiliti bangunan tidak lagi dilihat berdasarkan sifat fizikalnya.        Pengurusan data analitik juga mampu membuat keputusan pintar berkaitan prestasi fasiliti      berdasarkan peranti data masa nyata.

·     Peralihan teknologi dan penyelenggaraan bangunan - peralihan teknologi akan mengubah cara bangunan dikendalikan dan disenggara. Teknologi baharu ini akan mewujudkan jurang kemahiran yang perlu ditangani pemain industri pengurusan fasiliti sementara mengekalkan tahap prestasi fasiliti yang optimum.

·      Risiko dan standard baharu - teknologi baharu akan membawa kepada risiko dan keperluan standard baharu. Analisis risiko, kesinambungan operasi, mitigasi dan rancangan luar jangka menjadi tugas penting pemain industri pengurusan fasiliti memasuki era digital.

·        Etika dan keselamatan baharu - pendigitalan akan membawa beberapa cabaran etika dan keselamatan, di mana pengurus fasiliti harus membuat rancangan luar jangka termasuk masalah berkaitan keselamatan data yang dikumpulkan.

·       Kos dan keperluan tenaga kerja mahir - aspek ini mungkin meningkatkan kesan integrasi pendigitalan pengurusan fasiliti.

·       Kemahiran dan latihan baharu - proses pendigitalan memerlukan kemahiran tinggi dan latihan berterusan. Perkembangan teknologi digital akan membantu mengubah paradigma teknikal industri pengurusan fasiliti ke arah pendekatan strategik baharu.


Kesimpulannya, impak pendigitalan pengurusan fasiliti tidak akan berlaku sekelip mata.

Kajian berterusan perlu untuk meneroka tahap pelaksanaan semasa dalam sektor swasta dan

awam di Malaysia. Pihak berkepentingan perlu merangka strategi pelaksanaan maksimum

pendigitalan pengurusan fasiliti sebagai salah satu limpahan agenda Malaysia 5.0.


Selamat datang ke era digital pengurusan fasiliti Negara.

 

Credit: Dr Irwan Mohammad Ali (Pengurusan Fasiliti mesti manfaat ekonomi digital lestarikan khidmat)

No comments:

Post a Comment